Dengan melayari laman web ini, anda telah setuju dengan pengguna Cookie untuk terus menawarkan iklan dan promosi yang sesuai dengan minat anda, untuk melaksanakan statistik dan memudahkan perkongsian informasi mengenai rangkaian sosial. Untuk maklumat lebih lanjut, klik sini

5 Teknik Komunikasi Bersama Anak-Anak

Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak, Peranan ibu bapa mendidik anak, cara mendidik anak dengan betul, cara berkomunikasi dengan anak remaja, melembutkan hati anak

5 Teknik Komunikasi Bersama Anak-Anak

5 Teknik Komunikasi Bersama Anak-Anak

Dalam kehidupan seharian, komunikasi adalah sangat penting untuk memastikan perhubungan berjalan lancar. Pelbagai teknik komunikasi boleh dicuba oleh ibu bapa namun pastikan ia bersesuaian dengan peribadi anak. Paling penting anda harus tahu bahawa tidak semua selesa dengan cara kita berkomunikasi dan pastikan saat komunikasi dilakukan untuk menyelesaikan masalah, ia tidaklah mengeruhkan lagi keadaan.

1. Sentiasalah bertanya khabar dan perkembangan seharian mereka

Penting untuk anak-anak mengetahui bahawa kedua ibu bapanya mengambil berat mengenai mereka. Biar sesibuk mana pun pastikan sedikit masa diberikan untuk mengemas kini mengenai pengajian dan kehidupan seharian. Ini kerana kurangnya perhatian yang diberikan oleh ibu bapa menjadikan mereka mencari perhatian di luar sana. Banyak individu lain yang berniat tidak baik akan menggunakan peluang sebegini untuk mengambil kesempatan pada kekosongan hati yang dimiliki oleh anak remaja untuk kepentingan diri mereka sendiri.

2. Elakkan terlalu mengongkong namun berikan sedikit ruang keraguan

Dunia hari ini segalanya sudah menjadi tanpa sempadan. Sifat ingin tahu menjadi lebih tinggi dengan pendedahan maklumat yang tanpa batasan. Oleh itu, setiap kemudahan dan kebebasan yang diberikan perlu ada hadnya. Seperti penggunaan telefon pintar, tetapkan penggunaan berjadual jika mereka masih kecil dan pada hari persekolahan. Had masa perlu untuk memastikan mereka menggunakan kemudahan yang diberi untuk keperluan yang benar-benar penting sebelum membuka aplikasi yang tidak perlu. Periksa gajet dan sejarah pelayaran mereka usai sesi yang ditetapkan.

3. Cari titik persamaan dengan anak anda

Hormati dan beri peluang untuk si anak memilih perkara dan bidang yang mereka minati. Elakkan dari menetapkan dan mengehadkannya kepada sesuatu yang terlalu spesifik. Tidak semestinya jika anda seorang ahli sukan, anak anda perlu mengikut jejak langkah dan menghalang minatnya dalam bidang lain. Tidak salah mencuba namun elak dari terlalu berkeras. Aktiviti pilihan seharusnya menyeronokkan berbanding memberi tekanan apatah lagi untuk si kecil yang sedang membesar. Jika aktiviti yang mereka gemari bukanlah dari minat anda, pelajarinya secara asas agar anda boleh berbicara mengenainya bersama mereka.

4. Jangan bermula dengan nada yang tinggi apabila bertutur

Biarpun anak anda telah melakukan kesalahan sama ada kecil atau besar, mulakan perbincangan dengan intonasi yang lembut tetapi tegas. Jika anda terus memarahinya, ini akan menampakkan anda bersifat defensive tanpa memberi peluang untuk dia menceritakan kisah dari pihaknya. Perbincangan yang matang akan menjadikan mereka lebih terbuka untuk bercerita kisah sebenar berbanding menipu untuk menyelamatkan diri.

5. Elakkan dari memalukan anak anda dan berikan perhatian memperbaiki kelakuannya

Tindakan menghukum di khalayak ramai memungkinkan mereka berasa malu dan ia mempunyai kesan jangka panjang pada perkembangan emosi anak. Ini menjadikan hubungan antara anda dan anak semakin jauh dan tercalar apabila dia memendam segalanya di dalam dirinya. Oleh itu, analisa kesalahan yang dilakukan dan beri nasihat selain mengambil tindakan yang mendidik dan membaiki tingkah lakunya. Setelah suasana sudah menjadi lebih tenang, terangkan tujuan anda mengambil tindakan itu dan rasionalnya.

Tip-tip Kesihatan Mulut
/
Lain-lain
/
5 Teknik Komunikasi Bersama Anak-Anak