Skip to main content

Perjalanan Tumbesaran Si Kecil

Tanda anak lewat perkembangan, Tips memilih taska terbaik, Teknik ajar anak cepat membaca, Tips anak cepat bercakap, Doa anak pandai belajar

Perjalanan Tumbesaran Si Kecil

Perjalanan Tumbesaran Si Kecil

Meniti perjalanan membesarkan si kecil sememangnya suatu proses yang penuh keterujaan. Adakalanya kita bersama teman-teman kalut membandingkan antara satu sama lain mengenai tahap perkembangan si kecil seperti tumbuh gigi, langkah pertama si kecil, butir kata pertamanya. Manakala si ibu yang lain meniti perjalanan berbeza bergantung kepada kondisi si kecil mereka. Perbezaan ini tidak hanya tertakluk kepada individu, banyak faktor lain yang menjadikan perkembangan antara setiap bayi berbeza seperti jantina bayi, genetik, persekitaran juga tahap fizikal mereka. Berikut adalah senarai yang boleh dirujuk untuk memastikan si kecil anda berada dalam jajaran perkembangan yang sewajarnya mengikut usianya.

1. Saiz Fizikal

Sering sahaja kita dengar frasa seperti “Eh ringannya anak kamu ini, tidak diberi susu ibu ke?”. Adakalanya persoalan sebegini merimaskan dan mendetikkan rasa kurang senang. Benar kadang kala mereka hanya menunjukkan rasa ambil berat, namun anda juga harus bertenang dan lebih sabar saat individu lain mempersoalkan mengenai saiz fizikal si kecil anda. Khususnya apabila anda mematuhi pemeriksaaan berkala dan jadual imunisasi untuk si kecil, pastinya doktor terbabit akan menasihatkan anda andai tumbesaran si kecil tidak seiring dengan usianya. Apa yang boleh anda perhatikan adalah bayi sepatutnya melakukan tindakan refleks seperti menghisap juga pergerakan mengejutkan yang rawak pada bahagian tubuh tertentu seperti gerakan pada tangan dan kaki pada peringkat awal.

2. Skil Motor

Tahun pertama kelahiran merupakan perjalanan yang pantas dalam tumbesaran si kecil. Dari tubuh yang tidak dapat berbuat apa hinggalah sesetengah bayi ada yang mula mengorak langkah pertamanya dalam jangka masa usia setahun. Janganlah terlalu memaksa perjalanan ini kerana ia bakal menjadi tekanan biarpun bayi anda masih kecil. Tiada aturan spesifik bahawa pada usia tertentu bayi akan mula bertindak balas pada panggilan tertentu tetapi dalam tempoh ini mereka akan mula mengenali individu terdekat seperti ahli keluarga juga insan yang membantu dalam proses penjagaannya seperti atuk, nenek dan juga pembantu rumah.

3. Bahasa dan pertuturan

Respon terhadap suara bermula awal dan mereka mula memberi perhatian kepada aspek ini seawal usia tiga bulan. Mereka kadang kala mula memberi respon kepada suara yang memanggil juga pertuturan yang dituturkan kepadanya. Kadang kala mereka juga boleh memberikan reaksi dengan riak wajah tertentu andai mereka tidak gemar atau sudah bosan dengan permainan yang diberikan untuk tempoh yang terlalu lama. Mereka juga turut mampu menonjolkan emosi seperti gembira dan sedih bergantung kepada keadaan semasa.

Anda boleh mencari bahan bacaan yang banyak terdapat di pasaran untuk dijadikan rujukan namun janganlah terlalu bergantung sepenuhnya untuk mengukur kadar pertumbuhan bayi. Jadikan ia sebagai sandaran namun berpandukan nasihat profesional dari pakar pediatrik. Doktor yang merawat anak anda adalah lebih baik kerana mereka yang melihat sendiri kondisi si kecil anda.

Tip-tip Kesihatan Mulut
/
Lain-lain
/
Perjalanan Tumbesaran Si Kecil