Skip to main content

Memahami Masalah Pergigian Biasa: Punca, Gejala, Rawatan & Lain-lain Banyak Lagi

Memahami Masalah Pergigian Biasa: Punca, Gejala, Rawatan & Lain-lain Banyak Lagi

Penyakit gusi, kerosakan gigi dan gusi surut hanyalah sebahagian daripada pelbagai masalah pergigian di dunia. Keadaan tersebut juga mungkin merupakan tanda-tanda masalah kesihatan mulut yang mungkin mengganggu kehidupan harian anda. Oleh itu, ia amat penting untuk mendidik diri anda tentang masalah gigi dan gusi, puncanya dan cara mengatasi gigi rosak sebelum terlambat. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang kesihatan pergigian anda.

Apakah beberapa masalah pergigian yang paling biasa didapati?

1. Gingivitis


Gingivitis adalah peradangan tisu gusi di sekitar pangkal gigi anda. Keadaan ini agak biasa dan juga merupakan satu penyakit gusi yang ringan. Walaubagaimanapun, ia boleh dipulihkan. Menurut kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, lebih daripada 50% orang dewasa mempunyai gingivitis di 3 ke 4 gigi (1).

Tanda-tanda gingivitis adalah:

I. Gusi berdarah
II. Gusi bengkak
III. Gusi kemerah-merahan

Gingivitis disebabkan oleh pengumpulan plak pada kawasan gigi yang berdekatan dengan gusi, dan selalunya disebabkan oleh tabiat kebersihan mulut yang buruk. Bila lebih banyak bakteria muncul, lebih mudah untuk gusi membengkak dan berdarah.

2. Periodontitis


Periodontitis adalah penyakit gusi yang teruk dan tidak dapat dipulihkan. Keadaan ini adalah kehilangan tulang alveolar (yang memegang gigi) dan pembentukan poket gusi yang dalam di sekeliling gigi anda, meningkatkan risiko terdedah kepada pengumpulan bakteria. Apabila gingivitis tidak dirawat, ia boleh menjadi punca gigi rosak dimana ia berkembang menjadi periodontitis dan akhirnya kehilangan gigi.

3. Kemelesetan Gusi


Kemelesetan gusi adalah keadaan di mana tisu gusi yang mengelilingi gigi semakin kurang dan mendedahkan akar gigi. Kemelesetan gusi boleh berlaku kepada semua tidak kira umur walaupun anda menjaga gigi anda dengan baik. Perkara utama ialah memahami apa yang boleh menyebabkan kemelesetan gusi.

Kemelesetan gusi boleh dipunca oleh:
I. Penyakit gusi
II. Memberus gigi dengan terlalu kuat atau menggunakan berus gigi dengan bulu keras
III. Trauma pada tisu gusi disebabkan oleh gigi palsu yang tidak sesuai atau kecederaan sukan pada gigi dan tisu penyokongnya
IV. Gigi bengkok yang berada di luar kedudukan ideal

4. Jangkitan Gusi


Jangkitan gusi dicirikan oleh kesakitan yang teruk di sekitar gusi, disertai dengan bengkak yang memburukkan lagi kesakitan di sekitar kawasan tersebut.

Terdapat 3 jenis jangkitan gusi yang biasa didapati:
I. Pericoronitis - Jangkitan gusi yang menutupi gigi yang tidak bercabang, paling biasa dikaitkan dengan gigi bongsu yang terjejas
II. Abses periodontal - Jangkitan setempat akibat pengumpulan bakteria atau benda asing dalam sulcus (ruang antara gigi dan gusi) gigi
III. Abses periapikal - Jangkitan bakteria yang berlaku akibat rongga gigi yang tidak dirawat, kecederaan atau kerja pergigian terdahulu (3), mengakibat pengumpulan nanah pada akar gigi.

5. Pereputan gigi


Kerosakan gigi, yang juga dikenali sebagai karies gigi, berlaku apabila bakteria dalam plak menukarkan gula (dari makanan dan minuman) yang bersentuhan dengannya menjadi asid, menyahmineralkan gigi (2). Apabila ini berlaku berulang kali, asid yang dihasilkan oleh plak akan membuat lubang pada gigi lalu menjadi punca gigi rosak. Kerosakan gigi boleh bermula pada usia yang sangat muda, dan boleh terkena semua peringkat umur. Karies gigi dalam boleh menyebabkan jangkitan dan menyebabkan sakit gigi juga. Dan jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kehilangan gigi, yang akan menyebabkan kehilangan keyakinan dan agak mahal untuk diperbaiki.

6. Kehausan Gigi


Kehausan gigi adalah kehilangan struktur gigi yang disebabkan oleh faktor selain daripada karies gigi.

Ada 3 jenis kehausan gigi:
I. Attrition - Kehilangan tisu gigi yang keras akibat sentuhan gigi ke gigi. Terhasil dari fisiologi (disebabkan usia tua) atau patologi (disebabkan oleh keadaan seperti menggesek atau menggertak gigi).

II. Lecetan - Kehilangan tisu gigi yang keras melalui proses mekanikal yang melibatkan objek asing. Ia mungkin disebabkan oleh memberus terlalu kuat atau terlalu lama, pendedahan lama kepada zarah yang melelas dan kerap memasukkan objek asing seperti pen ke dalam mulut.

III. Hakisan - Kehilangan tisu gigi keras yang disebabkan oleh bahan kimia yang melarutkan enamel (permukaan gigi) dan dentin (lapisan kuning yang keras di bawah enamel). Penyebab biasa hakisan adalah makanan dan minuman berasid, penyakit refluks gastroesophageal atau pekerjaan bahaya yang sering mendedahkan seseorang kepada udara berasid.

7. Gigi Sensitif


Gigi sensitif juga dipanggil sebagai hipersensitiviti dentin (4). Ini adalah keadaan di mana seseorang mengalami kesakitan kerana dentin terdedah yang bersentuhan dengan perkara seperti minuman sejuk.

Beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada gigi sensitif:
I. Kehausan gigi, menyebabkan dentin terdedah
II. Kemelesetan gusi yang mendedahkan dentin
III. Makanan atau minuman berasid yang berlebihan
IV. Gejala selepas pembedahan yang dialami selepas prosedur pergigian

Masalah pergigian boleh menjejaskan rutin harian dan kualiti hidup anda. Pencegahan (mengunjungi doktor gigi dengan kerap dan mengekalkan penjagaan mulut yang sihat) adalah kunci kepada kesihatan mulut yang baik. Ini kerana ubat untuk masalah pergigian selalunya mahal. Maka, amatlah penting untuk mengelakkan masalah gigi dan gusi daripada timbul.

Apakah cara untuk mengelakkan masalah pergigian?

1. Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida.


Amalkan teknik memberus yang berkesan dan pastikan anda memberus permukaan setiap gigi. Rutin kebersihan mulut yang baik adalah penting dalam cara menjaga kesihatan gigi. Memilih ubat gigi yang sesuai untuk anda juga penting. Contohnya, jika anda ingin menjaga gusi anda, pilihlah ubat gigi yang menguatkan gusi.

2. Pilih berus gigi yang sesuai dan tukar setiap 3 bulan sekali.


Apabila berus gigi mula haus, tukar kepada yang baharu untuk mengelakkan bakteria daripada terkumpul di dalam, menjejaskan kesihatan mulut dan kesihatan keseluruhan anda. Ia juga penting untuk memilih jenis berus yang sesuai dengan anda. Berus gigi lembut adalah pilihan yang paling selesa dan selamat. Berus hujung yang nipis juga akan dapat membersihkan kawasan yang susah dicapai di antara gigi anda.

3. Flos gigi anda sekurang-kurangnya sekali sehari sebelum tidur.


Anda boleh menggantikan flos gigi biasa dengan alat flos air elektrik. Sesetengah orang menganggapnya sebagai alternatif yang lebih mudah untuk flos.

4. Elakkan produk tembakau dan minuman beralkohol.


Ia telah diiktiraf sebagai faktor risiko penting untuk penyakit mulut, terutamanya kanser mulut.

5. Elakkan kerap mengambil snek dan minum minuman manis di antara waktu makan.


Setiap kali anda minum minuman manis, bakteria dalam mulut anda akan bertindak balas dengannya dan menghasilkan asid yang boleh memusnahkan enamel gigi.

6. Makan makanan yang sihat dan kerap minum air paip masak.


Makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar meningkatkan aliran air liur untuk membantu membersihkan makanan tersangkut. Air paip mempunyai tambahan fluorida, yang boleh membantu mencegah kerosakan gigi.

7. Lawat doktor gigi anda dua kali setahun untuk pemeriksaan dan penilaian pergigian.


Pengesanan awal adalah kunci kepada cara mengatasi gigi rosak dengan berkesan.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Tentang hal kesihatan mulut, mencegah masalah adalah lebih mudah, lebih murah, dan kurang traumatik daripada mengubatinya. Sekarang anda mempunyai pemahaman yang lebih jelas tentang isu pergigian dan cara menjaga kesihatan gigi, pastikan anda mengambil langkah yang diperlukan untuk mencegahnya.

Sumber Rujukan:

  1. Oliver, R. C., Brown, L. J., & Löe, H. (1998). Periodontal diseases in the United States population. Journal of periodontology, 69(2), 269–278. https://doi.org/10.1902/jop.1998.69.2.269
  2. Department of Health Western Australia (n.d.). Tooth decay and gum disease. https://www.healthywa.wa.gov.au/Articles/S_T/Tooth-decay-and-gum-disease.
  3. Tooth abscess. Beacon Health System. (2019). https://www.beaconhealthsystem.org/library/diseases-and-conditions/tooth-abscess
  4. Davari, A., Ataei, E., & Assarzadeh, H. (2013, September). Dentin hypersensitivity: etiology, diagnosis and treatment; a literature review. Journal of dentistry (Shiraz, Iran). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3927677/.
Tip-tip Kesihatan Mulut
/
Pergigian
/
Memahami Masalah Pergigian Biasa: Punca, Gejala, Rawatan & Lain-lain Banyak Lagi