Perjalanan masa yang begitu pantas berlalu menjadikan bulan Ramadhan kadang kala tanpa kita sedari sudah berlalu dengan cepatnya. Kesibukan tugasan seharian yang ditambah dengan masa yang terhad mengejar untuk penyediaan juadah berbuka, kekalutan mengatur urusan ibadah sama ada di surau dan masjid mahupun di rumah juga menyediakan kelengkapan untuk seisi keluarga buat Syawal yang bakal menjelang. Dalam mengejar kesibukan ini kadang kala kita lupa fokus utama yang perlu diberikan perhatian. Selain urusan ibadah, keluarga dan masa berkualiti yang diluangkan bersama adalah antara momen berharga musim Ramadhan ini. Benar kadang kala rasa seakan begitu terhad namun jika diuruskan dengan baik, pastinya terdapat waktu-waktu yang boleh kita luangkan bersama seisi keluarga. Banyak aktiviti yang boleh kita jalankan bersama untuk memastikan kita memenuhi masa-masa yang dikehendaki bersama-sama.
Sememangnya kepesatan teknologi hari ini menjadikan segalanya tersedia di hujung jari. Banyak antara kita yang memilih untuk melengkapkan persediaan Syawal dengan membeli belah secara atas talian. Andai anda punyai masa terluang, bawalah anak dan ahli keluarga untuk melawati bazaar yang menghimpunkan koleksi terkini untuk digayakan pada hari perayaan kelak. Memori sebegini sebenarnya tidak dapat di beli dengan wang ringgit. Tidak salah andainya persiapan sebegini dilakukan lebih awal untuk keselesaan anda sekeluarga. Sekurang-kurangnya keadaan ia masih tidak terlalu sesak dalam masa yang sama anda mempunyai lebih banyak pilihan untuk dicuba.
Menyentuh tentang ibadah, bulan mulia ini kita digalakkan untuk lebih banyak bersedekah. Untuk yang bercadang melakukan aktiviti ini, bawalah anak anda bersama. Antara aktiviti yang sering dilakukan adalah memberikan sumbangan kepada rumah anak-anak yatim. Selain makan yang dihidangkan untuk jamuan berbuka, anda boleh juga menyumbang bahan kering sama ada untuk digunakan pada bulan puasa ini atau ketika Syawal kelak. Sifat dermawan ini elok dipupuk dari kecil lagi. Bawa anak-anak anda bersama ketika anda membuat pilihan membeli barang-barang yang hendak didermakan. Kemudian pergilah ke rumah kebajikan pilihan anda dan luangkan sedikit masa bersama mereka. Anak-anak anda akan belajar untuk lebih menghargai apa yang mereka miliki hari ini ditambah pula dapat merapatkan silaturahim bersama saudara muslim mereka yang lain.
Pokok pangkalnya, ada sahaja aktiviti yang boleh dilakukan sebagai cara untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga dalam bulan mulia ini. Jangan kerana anda berpuasa ia menjadi alasan untuk bermalasan di rumah. Walhal di rumah pun ada sahaja aktiviti untuk anda lakukan bersama. Paling penting keikhlasan dalam menjalani ibadah juga beraktiviti bersama ahli keluarga yang lain.