Skip to main content

Jangan Hakimi Pilihan Menetap di Kediaman untuk Menjaga Keluarga

Tanggungjawab isteri, kepentingan keluarga, Peranan seorang ibu, peranan keluarga, hubungan keluarga mengeratkan keluarga

Jangan Hakimi Pilihan Menetap di Kediaman untuk Menjaga Keluarga

Jangan Hakimi Pilihan Menetap di Kediaman untuk Menjaga Keluarga

Pilihan untuk membesarkan keluarga menggunakan tangan sendiri menuntut satu pengorbanan yang besar buat sesiapa sahaja di dunia. Tidak dinafikan banyak peluang yang tersedia di hadapan mata untuk kita mencapai impian namun sebahagian dari kita memilih untuk kekal di rumah dan sempurnakan segalanya. Ada yang mengatakan kepuasan melihat segalanya sempurna di bawah kelolaan sendiri menjadi penyebab manakala ada juga yang mahu hidup sekeluarga lebih teratur di bawah pemantauannya. Setiap satu pilihan pastinya mempunyai sebab tersendiri selain kebaikan dan kekurangannya.

Ini kerana momen indah melihat si kecil melalui setiap fasa kehidupan tidak dapat dinilai dengan wang. Langkah pertama, butir kata, suapan pertama, saat dia mula memanggil ibu, mama, umi atau apa sahaja, anda tahu pilihan ini sememangnya tidak sia-sia. Anda bagaikan merakam memori indah ini untuk dikongsikan bersama. Bayangkan saat anak sudah besar nanti, duduk dikelilingi cucu, anda bercerita bagaimana seronoknya melihat mereka dahulu membesar dengan keletah yang pelbagai.

Jangan Hakimi Pilihan Menetap di Kediaman untuk Menjaga Keluarga

Biarpun ramai yang beranggapan suri rumah bukanlah suatu kerjaya, sebenarnya ia bukanlah suatu yang tepat. Penatnya bekerja menguruskan rumah tangga seakan sama sahaja jika anda bekerja di pejabat. Anda masih perlu pembahagian masa yang sempurna selain perlu multi-tasking untuk memastikan semua tugasan selesai. Tugas di pejabat mungkin anda boleh tinggalkan saat anda melangkah keluar namun tugas hakiki di kediaman kekal berjalan sepanjang masa. Begitulah payahnya menjadi ibu sama ada anda suri rumah atau bekerja sepenuh masa.

Jangan Hakimi Pilihan Menetap di Kediaman untuk Menjaga Keluarga

Benar, tugas ibu juga perlu kreatif untuk memastikan segalanya teratur dan mengikut kehendak individu dalam keluarga. Bayangkan sahaja menu untuk makan malam yang pelbagai kerana setiap seorang punyai cita rasa berbeza, tidak pernah pula si ibu merungut banyaknya yang perlu disediakan untuk memastikan semua menikmati hidangan yang sesuai. Ini tidak termasuk menyempurnakan tugasan sekolah anak-anak yang semakin hari semakin rumit mengikut peredaran masa dan zaman. Mungkin hari ini tiada lagi aktiviti menggunting kertas dan diganti dengan penggunaan perisian pada telefon pintar untuk menyelesaikan tugasan.

Jangan Hakimi Pilihan Menetap di Kediaman untuk Menjaga Keluarga

Namun begitu anda masih boleh meminta untuk memiliki sedikit masa untuk diri sendiri. Manjakan diri dengan perawatan tubuh fizikal dan dalaman agar sentiasa kelihatan segar dan cergas untuk melakukan tugasan anda. Anda sememangnya layak di atas segala penat lelah yang anda curahkan. Mungkin anda boleh mencuri sedikit masa ketika percutian keluarga dengan pergi ke spa dan memberikan kembali perhatian pada diri sendiri. Jika anda mempunyai anak gadis, ajak dia bersama dan gunakan peluang ini untuk menitipkan pesan untuk mereka menghadapi gelombang kehidupan dan berkongsi kisah mengenai kehidupan. Ingatlah bahawa apabila anda mula menjaga diri anda sendiri, anda akan menjadi lebih baik dalam menjaga insan-insan lain di sekeliling anda.

Tip-tip Kesihatan Mulut
/
Lain-lain
/
Jangan Hakimi Pilihan Menetap di Kediaman untuk Menjaga Keluarga